TELOK KEMANG 12 Feb. – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, pada 31 Januari lalu.
Tertuduh yang merupakan bapa kandung mangsa, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Mohammad Abdullah didakwa melakukan perbuatan itu hingga menyebabkan kematian Nur Aina Nabihah di antara pukul 8.30 malam dan 11.30 malam di Taman Vista Jaya, Lukut dekat sini.
Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan. Tertuduh tidak diwakili peguam.
Siti Khariah menetapkan 15 Mac ini bagi sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya, sebelum keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk kiri dan kanan, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Mohammad Abdullah dan isteri sebelum ini direman sejak 2 Februari lalu, namun ibu tiri mangsa itu dibebaskan dengan jaminan mahkamah di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah yang akan dijadikan saksi pendakwaan.










