12 pistol, rifle tiruan dirampas di Melaka  - Utusan Malaysia

12 pistol, rifle tiruan dirampas di Melaka 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Sebuah kedai kasut yang menjual senjata api tiruan sejak tiga bulan lalu di Pahlawan Walk, Jalan Plaza Mahkota di sini diserbu polis baru-baru ini.

Dalam operasi pada pukul 9.30 malam itu, sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan/Risikan Perlesenan negeri merampas enam pucuk pistol dan enam laras rifle yang bernilai RM10,000.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hasan berkata, pemeriksaan mendapati kesemua senjata yang dijual dengan harga RM800 hingga RM1,000 setiap satu itu dipamerkan di bahagian belakang kedai untuk jualan. 

Difahamkan, kesemua senjata tiruan tersebut dibeli secara dalam talian dari China dengan harga RM200 setiap satu.

“Hasil soal siasat, peniaga tersebut mendakwa dia tidak mengetahui perbuatan menjual senjata tersebut merupakan satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini. 

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960.

Sehubungan itu, Abdul Jalil meminta orang ramai yang membeli pistol dan rifle tersebut supaya memulangkan kepada pihak berkuasa secara sukarela atau berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya senjata berkenaan dirampas. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×