IPOH – Dua lelaki warga Nigeria bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang wanita tempatan bagi menyerahkan wang kepada mereka berjumlah RM16,200 bulan lalu.
Tertuduh, Arinze Chibuisi, 24, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.
Seorang lagi tertuduh, Ekene Malachy, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut dua pertuduhan tersebut, kedua-dua mereka didakwa menipu Tan So Pin, 56, dengan memperdayakan dan mendorongnya menyerahkan wang masing-masing sebanyak RM4,200 dan RM12,000 untuk mendapatkan barang yang tidak wujud.
Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan mereka di Perkilangan Jelapang di sini antara 2.15 petang 15 Januari lalu hingga 10.25 pagi 16 Januari lalu.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, kedua-dua tertuduh dan dua lagi rakan mereka, Emmanuel Jideanr, 34, dan Thankgod, 24, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di Restoran Shafah, Taman Paik Siong, Puchong, Selangor pada pukul 12.30 tengah malam 29 Januari lalu. – K! ONLINE










