71 murid SK Tasek Apong alami gejala keracunan makanan - Utusan Malaysia

71 murid SK Tasek Apong alami gejala keracunan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seramai 71 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong di Sungai Petani mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut sejak semalam selepas disyaki makan nasi lemak berlaukkan ayam dalam program merentas desa sekolah itu Sabtu lepas. 

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada pukul 10 pagi semalam melalui waris murid berkenaan.

Beliau berkata, lawatan pihak pejabat kesihatan daerah itu ke sekolah berkenaan pada pukul 10.30 pagi hari yang sama mendapati seramai 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaan lanjut yang dijalankan hari ini mendapati sejumlah 71 murid keseluruhannya mengalami gejala sama.

“Dua murid mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan seorang telah dibenarkan keluar wad dan seorang lagi masih di wad dan stabil.

“Tiga murid mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim dengan gejala yang sama dan dirawat sebagai pesakit luar manakala lain-lain pelajar selebihnya mendapatkan rawatan sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr. Norhizan berkata, siasatan awal mendapati jenis makanan yang disyaki penyebab keracunan makanan itu adalah nasi lemak berlauk ayam yang ditempah daripada katerer luar bagi program merentas desa yang disertai kira-kira 480 murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam sekolah itu namun siasatan lanjut masih giat dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×