Beri kerjasama kepada KPDNKK lapor peniaga enggan patuhi harga - Utusan Malaysia

Beri kerjasama kepada KPDNKK lapor peniaga enggan patuhi harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 12 Feb. – Pengguna di negeri ini diminta bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ( KPDNKK) untuk menyalurkan maklumat berhubung mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan menjual barangan kawalan melebihi harga ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, terdapat 13 jenis barangan dikawal harganya sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2018 yang dilancarkan mulai kelmarin sehingga 21 Februari ini.


Beliau berkata, sepanjang tempoh 12 hari itu, kerajaan akan mengawal harga 13 barangan meliputi kategori ayam, telur ayam, sayur-sayuran, hasil laut, barang kering dan daging babi.


“Tindakan tegas akan diambil terhadap para peniaga yang menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan, menggunakan alat timbang yang tidak ditentu sahkan dan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan harga barangan lain.


“Menjual barangan pada harga lebih murah daripada harga maksimum adalah digalakkan sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Pelaksanaan SKHMP Tahun Baharu Cina di Pasar Raya Giant Tabuan Jaya di sini hari ini.


Beliau berkata, pengguna yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 03-8000 8000 1Malaysia One Centre (1MOCC), 03-8882 6088/6245 (Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik), aplikasi telefon pintar Ez ADU, e-mel ke alamat e-aduan@KPDNKK< butiran aduan> atau lapor di mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.-UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×