MUKADIMAH: DATUK DR.NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS (gambar), salah seorang daripada barisan pelapiskepemimpinan UMNO di negeri yang sentiasa menarik sorotan umum terhadap persoalan politik dalaman di samping parti saingan tradisi yang sentiasa mengancam.
![]() |
|
|
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu itu juga mengetuai pergerakan tersebut di Kuala Terengganu, bahagian yang dilihat berdepan situasi paling sukar untuk merubah senario politik tempatan. Wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB mengajukan lima soalan untuk meninjau pandangan beliau mengenai politik semasa yang makin berubah bentuk menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 dan masa depan negeri, negara dan bangsa.
UTUSAN : Bagaimana Datuk melihat kuasa politik orang Melayu masa ini.
DR.NAJMIL FAIZ : Perpecahan diasak oleh bangsa sendiri dan sejarah membuktikan ia tidak membawa keuntungan, selain kerugian berterusan dan sukar untuk ditebus semula. Hanya kuasa menentukan kekuatan dan survival bangsa Melayu, namun semakin terhakis dan kuasa politik majoriti ini boleh bertukar menjadi minoriti. Ketidakstabilan politik secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif terhadap pembangunan dan keharmonian negara.
Apa pandangan Datuk tentang permainan politik pembangkang?
Permainan dan pendekatan politik pembangkang yang menggunakan fitnah, tuduhan liar serta tohmahan di samping menyebarkan kebencian amat berbahaya dan tidak sesuai di negara ini. Apatah lagi apabila pembangkang suka menjadikan isu-isu sensitif kaum dan agama seperti yang kita lihat hari ini dalam meraih sokongan.
Politik pembangkang tidak menjadikan rakyat semakin matang dan rasional, sebaliknya rakyat sentiasa hidup resah dalam syak wasangka terhadap pemerintah, dengan mempolitikkan walaupun setiap kebaikan, di samping semarakkan ketegangan antara kaum, sekali gus menjejaskan perpaduan yang mengukuhkan pembinaan negara bangsa selama ini.
Sebagai orang muda, sejauh manakah Datuk melihat penerimaan generasi muda masa terhadap UMNO?
Kita tidak nafikan ada segelintir anak muda yang melihat UMNO dengan persepsi dan pandangan yang negatif ekoran hasutan dan propaganda pembangkang, tetapi dalam masa yang sama, keahlian baharu UMNO dalam kalangan anak muda hari ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Dalam pilihan raya kampus pada tahun lepas juga menyaksikan kumpulan proaspirasi berjaya memenangi kesemua pilihan raya kampus yang diadakan. Ini memperlihatkan sokongan anak muda terhadap UMNO dan kerajaan semakin positif dan saya yakin akan terus bertambah dengan perancangan masa depan untuk mereka melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Sejauh manakah Datuk melihat kejayaan kerajaan BN di Terengganu?
Kerajaan BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dengan gasasan Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) amat komited memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri sentiasa ditingkatkan dengan pelbagai bantuan, perkhidmatan dan kemudahan untuk golongan sasar, seakan bergerak sebagai sebuah negeri berkebajikan dalam suasana semarak syiar Islam.
Selain penekanan terhadap pendidikan, sifarkan miskin tegar telah berjaya dan bagi menyediakan masa depan lebih selesa, aspek perumahan dan pemberian tapak rumah diberi penekanan, selain mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Apa lagi untuk Terengganu dan rakyat?
Kerajaan negeri hari ini dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya untuk golongan muda dengan melaksanakan program Transformasi Graduan Terengganu (T-GTP) bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja.
Dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum, kerajaan negeri juga memastikan industri pelancongan, dengan kekayaan sumber alam dan produk lain digerakkan untuk dikecapi rakyat.











