RATU pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, 25, menepati ramalan apabila berjaya meraih pingat emas 100 meter (m) Pra Sukan Asia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dengan melakar catatan tahunan terbaik 11.82 saat (s) semalam.
Olimpian negara yang beraksi pada Sukan Olimpik 2016 itu berjaya menewaskan pelari dari Hong Kong, Lam On Ki yang meraih tempat kedua dengan catatan 11.96s dan pemenang pingat gangsa dari Indonesia, Yuliana (12.06s).
Husniah, pemenang dua pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dijangka tidak berdepan masalah untuk mengulangi kecemerlangan tersebut pada acara seterusnya iaitu 200m yang akan berlangsung esok.
Ia merupakan pingat emas kedua negara pada saingan hari pertama olahraga selepas terdahulu, jagoan lompat tinggi negara, Lee Hup Wei memenangi acaranya dengan lompatan setinggi 2.19m.
Had ketinggian 2.19m itu sudah cukup untuk Hup Wei, 31, menewaskan pemenang pingat perak dari Taiwan, Hsiang Chun-Hsien dan wakil tuan rumah, Rizky Ghusyafa Pratama yang meraih tempat ketiga dengan masing-masing mencatatkan 2.10m.
Hup Wei, pemenang pingat perak KL2017 dan juga bekas pemegang rekod kebangsaan bagaimanapun gagal dalam tiga percubaannya untuk melepasi had ketinggian 2.25m, sekali gus berpuas hati dengan catatan 2.19m.
Catatan itu dilihat masih jauh jika dibandingkan dengan rekod peribadi Hup Wei, 2.28m yang dilakukannya sewaktu memenangi pingat emas Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia awal bulan ini.
Turut cemerlang ialah jaguh 110m lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, 30, apabila berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan tahunan terbaik 14.01s.
Rayzam yang juga pemenang pingat emas KL2017, tewas kepada pelari Hong Kong, Chan Chung Wang yang muncul juara dengan catatan 13.93s, diikuti tempat kedua milik atlet Taiwan, Yang Wei-Ting (13.99s).
Ia merupakan petanda baik buat Rayzam, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s, dalam persediaannya menghadapi kejohanan terdekat seperti Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bermula April depan.










