MADRID – Bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo kembali membuktikan sentuhannya masih tajam apabila muncul penjaring terbanyak La Liga untuk tahun 2018 setakat ini.
Ronaldo melalui kempen separuh musim yang suram apabila gagal menemui sentuhan penyudah, sekali gus menyaksikan Real ketinggalan 19 mata berbanding musuh tradisi mereka, Barcelona yang selesa berada di puncak La Liga.
Kapten Portugal itu sekadar meledak empat gol pada separuh pertama musim ini, namun memasuki tahun baharu 2018, Ronaldo mula mempamerkan semula ketajamannya apabila mengumpul tujuh gol, sekali gus menjadikan 11 gol keseluruhan setakat ini.
Awal pagi semalam, Ronaldo berjaya melakukan hatrik ketika Real menundukkan Real Sociedad 5-2 pada aksi La Liga yang berlangsung di Santiago Bernabeu.
Kejayaan Ronaldo meledakkan jaringan menyebabkan para pemerhati percaya bahawa Real mampu untuk memenangi perlawanan sekiranya dia berjaya menyumbang gol untuk pasukannya berdasarkan statistik kemenangan pasukan itu dalam enam perlawanan La Liga.
Kegagalan Ronaldo menjaringkan gol untuk pasukannya menyebabkan Real sekadar menang enam perlawanan, empat keputusan seri serta tewas sebanyak empat kali.
Kemenangan itu cukup menggembirakan pengendalinya, Zinedine Zidane, sekali gus memberikan motivasi yang cukup kuat buat Real sebelum mereka turun menentang Paris Saint-Germain pada aksi Liga Juara-Juara minggu ini.
“Kami beraksi pada separuh masa pertama dengan tempo yang cukup pantas, kemahuan untuk memburu kemenangan dan akhirnya kami mendapat keputusan yang sangat baik.
“Mereka (Sociedad) juga memiliki tempoh 45 minit pertama yang cukup baik dengan corak permainan yang sempurna, peluang dan kejayaan menjaringkan gol.
“Aksi ini menjadi persiapan terbaik buat kami sebelum beraksi pada perlawanan menentang PSG. Sekarang ini, kami perlu pulang berehat dan bermula esok, kami perlu memikirkan mengenai Liga Juara-Juara.
“Kami sudah bersedia dan ia sangat penting buat pasukan ini. Ia perlawanan dan pertandingan berbeza tetapi kemenangan kali ini memberikan kami suntikan moral,” katanya. – Agensi










