KUCHING – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mencontohi permuafakatan serta kesatuan yang dimiliki parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berikutan kejayaannya menjadi antara parti terkuat di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti PBB yang menjadi benteng kekuatan BN Sarawak harus dijadikan contoh oleh semua parti komponen BN di seluruh negara.
Menurutnya, tidak menjadi kesalahan untuk semua parti komponen BN di negara ini mengguna pakai pendekatan atau metodologi yang digunakan oleh PBB khususnya ketika berdepan dengan persekitaran politik yang kini telah jauh berbeza.
“Saya dapat melihat kekuatan PBB adalah berpaksi kepada kekuatan dalaman parti terutamanya kesatuan dan permuafakatan antara barisan kepimpinan tertinggi parti hingga ke peringkat akar umbi.
“Permuafakatan dan kesatuan ini perlu diteruskan demi kelangsungan kekuatan BN secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo di sini semalam.
Turut hadir ialah Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.










