PUTRAJAYA – Aktiviti mengorek pasir di muara Sungai Puyu, pantai Pasir Panjang, Seri Manjung, Perak tidak menjejaskan keseluruhan pantai itu yang menjadi kawasan pendaratan untuk penyu bertelur.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kawasan yang terlibat dalam projek mengorek pasir itu hanya sebahagian kecil daripada kawasan pantai Pasir Panjang yang sepanjang enam kilometer.
Katanya, projek mengorek pasir itu bertujuan mendalamkan muara Sungai Puyu bagi mengelakkan berlakunya banjir di kawasan Segari akibat limpahan air sungai yang terperangkap di muara tersebut.
“Pasir yang dikorek bukan untuk kerja-kerja penambakan laut di Teluk Muroh, Lumut. Projek itu dijalankan kerana muara sungai telah tertutup dan menyebabkan aliran air sungai tidak lancar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.










