5,000 warga SSM meriahkan #JomPicnicSSM - Utusan Malaysia

5,000 warga SSM meriahkan #JomPicnicSSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Lebih 5,000 warga kerja dan ahli keluarga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memeriahkan program #JomPicnicSSM yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, program julung-julung kali diadakan itu bersempena dengan Kempen Keluarga Bahagia yang menjadi inisiatif utama SSM tahun ini bagi memupuk semangat kekeluargaan yang lebih erat dalam kalangan warga kerjanya.

Beliau memberitahu, program sedemikian adalah medan terbaik untuk merapatkan jurang di antara pihak pengurusan dengan warga kerja yang telah bertungkus-lumus bekerja demi SSM.

“Acara ini diadakan serentak di seluruh negara dengan kami menganggarkan kira-kira 5,000 warga kerja termasuk ahli keluarga mereka akan sama-sama hadir memeriahkan suasana di sam­ping merapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Jika kita lihat kepada konsep keluarga bahagia yang kita mahu serapkan sekali gus menjadi inisiatif utama tahun ini, aspek memahami, menghargai dan bersatu adalah penting bagi perhubungan di tempat kerja.

“Atas dasar itulah kami meng­adakan program seperti ini yang akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang dalam usaha memupuk warga kerja lebih seronok semasa bertugas,” ujarnya kepada pemberita dalam program #JomPicnicSSM di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, Rosli Ahmad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Khuzairi Yahaya dan Timbalan Ketua Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM, Nor Azimah Abdul Aziz.

Jamil kemudiannya melancarkan secara rasmi Kempen Kelua­r­ga Bahagia dan senaskhah buku bertajuk 10 Nilai-nilai Kekeluargaan yang akan diedarkan kepada warga kerja SSM seluruh negara.

SSM adalah agensi yang menguruskan pendaftaran sesebuah syarikat, perniagaan dan liabiliti dengan sebanyak 6.9 juta perniagaan, 1.26 juta syarikat dan 14,595 liabiliti telah didaftarkan setakat 31 Januari 2018.

Jamil membe­ritahu, Kempen Keluarga Bahagia yang akan digerakkan sepanjang tahun ini adalah inisiatif merapatkan hubungan sesama warga kerja agensi tersebut di samping meningkatkan produktiviti ma­sing-masing.

Menurut beliau, SSM sentiasa memberi tumpuan kepada ke­seimbangan antara pe­kerjaan dan kehidupan serta mahukan warga kerja merasai keseronokan bukan sahaja sewaktu bertugas, tetapi juga kebahagiaan ketika berada di rumah.

Dalam pada itu, Zahrah me­rakamkan penghargaan kepada rakan strategik SSM yang terdiri daripada pelbagai syarikat terkemuka termasuk Dorsett Putrajaya, Rafflesia The Pearl Centre dan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp.) yang secara sukarela menjayakan program ber­kenaan.

“Kami amat menghargai sokongan diberikan oleh rakan strategik menerusi program ini termasuk kesudian untuk menaja hadiah-hadiah untuk aktiviti ca­butan bertuah dan sukaneka untuk kanak-kanak,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×