Singapura turunkan kadar tol mulai 1 April - Utusan Malaysia

Singapura turunkan kadar tol mulai 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 10 Feb. – Pihak Ber­kuasa Pengangkutan Darat Singa­pura (LTA) mengumumkan bayaran tol untuk semua kenderaan (kecuali motosikal) bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk Singapura me­lalui Pusat Pemeriksaan Tuas akan dikurangkan lebih daripada 85 peratus di luar waktu puncak dari pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi setiap hari bermula 1 April 2018.

Bagi kereta yang menggunakan laluan keluar dan masuk Si­ngapura melalui pusat pemeriksaan itu hanya perlu membayar kadar tol sebanyak S$1.30 semasa waktu puncak manakala kende­raan perdagangan ringan (S$1.50), ken­deraan berat (S$2), teksi (S$1) dan bas (S$1.50).

Bagaimanapun, kadar bayaran tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands tidak berubah.

Pada waktu puncak dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi dan pukul 3 petang hingga 11 malam, kadar tol bagi kereta adalah sebanyak S$2.50, kendera­an perdagangan ringan (S$5.60), kenderaan berat (S$11.30), teksi (S$1.90) dan bas (S$3).

Sementara itu, Menteri Pe­ngang­kutan Singapura, Khaw Boon Wan berkata, republik ini akan menyesuaikan kadar tol di Lin­kedua selepas Malaysia me­ngumumkan pengurangannya se­malam.

“Ini akan berkuat kuasa 1 April 2018. Diharapkan ini akan menggalakkan pengguna jalan raya beralih pada tempoh waktu puncak,” katanya dalam akaun Facebook lewat Jumaat.

Khaw berkata, kedua-dua Perdana Menteri, Malaysia dan Si­ngapura telah membincangkan me­ngenai langkah mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura bulan lepas.

“Mengurangkan kadar tol di Linkedua adalah satu daripada cadangannya. Pelaksanaannya te­lah disegerakan. Malaysia baru sahaja mengumumkan kadar tol di Linkedua akan dikurangkan di luar waktu puncak,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, levi kenderaan komersial di Linkedua dikurangkan kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia mulai 13 Februari, berbanding kadar antara RM100 hingga RM200 ketika ini.

Caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

Khaw berkata, untuk mengu­rangkan kesesakan di laluan Tam­bak Johor, kedua-dua negara juga bekerjasama dengan Keretapi Ta­nah Melayu Berhad (KTMB) un­tuk meningkatkan kekerapan Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan sehari bermula 13 Februari, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Dengan langkah ini, kami yakin ia akan dapat memberi laluan trafik yang lebih lancar,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×