Rakyat perlu menilai pergolakan dalam PPBM - Utusan Malaysia

Rakyat perlu menilai pergolakan dalam PPBM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Alor SETAR 10 Feb. – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad menamatkan pergolakan dalaman parti seharusnya menjadi cerminan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, adalah mustahil buat PPBM menunaikan janji yang lebih besar kepada rakyat tentang negara berikutan ketidakupayaan parti tersebut menyelesaikan masalah kecelaruan dalaman yang dialami mereka.

“Kecelaruan dalam PPBM memang jelas, bukan kita (Barisan Nasional) yang di luar kata, sebaliknya ahli PPBM yang buat aduan (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), keluar parti beramai-ramai kerana masalah dalaman parti.

“Kalau parti macam ini, bagaimana orang nak beri kepercayaan. Rakyat mesti menilai parti baharu ini kerana masalah dalaman pun tak selesai, macam mana nak janji yang lebih besar untuk negara dan negeri. Itu mustahil,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Johor semalam yang menemplak PPBM sebagai parti huru-hara berikutan masalah perlembagaan yang gagal diurus dan diselesaikan.

Ahli PPBM sebelum ini dilaporkan mendesak ROS mempercepatkan siasatan selepas mendakwa mesyuarat agung pada Disember lalu tidak sah kerana melanggar peraturan perlembagaan parti.

Terdahulu, Ahmad Bashah menyerahkan sebanyak 500 buah basikal kepada pelajar terpilih daripada 16 sekolah di sekitar Alor Mengkudu sumbangan kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat korporat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala di sini hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×