HULU TERENGGANU 10 Feb.- Penyelaras Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menggerakkan Ziarah Perdana di 240 buah rumah bagi meninjau kehidupan keluarga dan individu yang memerlukan bantuan.
Program yang dijayakan bersama 48 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan semua Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO peringkat akar umbi turun serentak menziarah lima rumah yang terpilih di setiap kawasan masing-masing.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Zurina Abdul Rahman berkata, selain meninjau permaslahan semasa, sumbangan turut dihulurkan.
“Sasaran utama ialah lima buah rumah yang melibatkan golongan asnaf, warga emas yang uzur, pesakit kronik dan golongan di setiap kawasan seliaan JKKK.
“Melalui program ziarah ini, Wanita UMNO akan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga selain memberi sokongan moral kepada mereka serta meneliti ruang yang boleh dibantu jika keperluan mendesak.
“Kita akan dapatkan maklumat terperinci untuk tindakan lanjut sama ada oleh wakil rakyat atau agensi-agensi yang berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pekan Ajil hari ini.
Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib, Bibi Nazima Mohamed Akbar. – UTUSAN ONLINE










