ALOR SETAR 28 Feb. – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan tunduk kepada desakan supaya keluar daripada Pas ekoran tindakannya kebelakangan ini yang didakwa tidak sehaluan dengan kepemimpinan parti.
Mahfuz memberi alasan, beliau ingin memulihkan hubungan antara Pas dengan pakatan pembangkang terutamanya DAP biar pun umum mengetahui betapa parti itu sudah berpatah arang dengan DAP dan PAN.
“Salam, insya-Allah saya akan terus berusaha membawa Pas kembali bersama pakatan pembangkang,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan beberapa pemimpin Pas termasuk barisan jawatankuasa Pas Kawasan Pokok Sena yang pernah diketuainya selaku Yang Dipertua selama berbelas-belas tahun agar beliau keluar daripada Pas secepat mungkin.
Desakan itu dibuat kerana ada dalam kalangan mereka menganggap Mahfuz sudah tidak layak lagi berada dalam parti tersebut ekoran tidak patuh kepada arahan parti, selain hilang integriti.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi memberitahu, beliau dimaklumkan Pas Kawasan Pokok Sena sudah pun menghantar laporan mengenai Mahfuz ke Pejabat Setiausaha Agung Pas dan beliau menyerahkan kepada pihak berkaitan untuk membuat keputusan.
“Begitu pun sebagai ahli yang menyayangi Pas, adalah wajar bagi Mahfuz serta ahli yang lain menghadiri program-program dalaman bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai parti. Di situ juga mereka bebas memberi pandangan dan bukannya bersuara menerusi media terbuka,” katanya.-UTUSAN ONLINE







