PUTRAJAYA 8 Feb. – Sebanyak enam pesakit disahkan positif Rotavirus daripada 49 pesakit gejala acute gastroenteritis (AGE) yang mempunyai sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah sehingga 6 Februari lalu.
![]() |
|
NOOR HISHAM ABDULLAH
|
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kesemua 49 pesakit gejala AGE itu berusia lingkungan 10 bulan hingga 63 tahun merangkumi 39 kes dari Kedah, enam kes (Pulau Pinang) dan empat kes (Perlis).
“Daripada jumlah ini, sebanyak enam pesakit (12.2 peratus) disahkan positif Rotavirus. Kesemua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil dan tiada kematian. Sehingga hari ini, sebanyak 31 pesakit masih dirawat di hospital kerajaan dan swasta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan termasuk menutup lokasi kejadian untuk siasatan dan pembersihan serta melakukan pensampelan.
Menurutnya lagi, ibu bapa yang mempunyai anak-anak mengalami cirit-birit selepas mandi di pusat rekreasi air panas berkenaan antara 25 Januari sehingga 3 Februari lalu disarankan untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.
“Kementerian ingin menasihatkan orang awam agar tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala AGE ke kolam rekreasi awam. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memastikan anak-anak kecil tidak mandi di kolam dengan memakai lampin pakai buang,” katanya.
Dalam perkara berasingan, Noor Hisham berkata, kementeriannya menafikan berlakunya penyebaran tablet paracetamol P/500 berwarna putih berkilat yang dikatakan mengandungi virus Machupo seperti mana yang tular dalam media sosial.
“Untuk makluman, kementerian tidak menerima sebarang laporan ‘alert’ berkenaan pencemaran paracetamol daripada pihak berkuasa negara pengilang atau negara-negara lain setakat ini,” katanya yang memberitahu tablet yang tular itu adalah berbeza dengan produk yang didaftarkan di bawah kementeriannya.
Katanya lagi, virus Machupo yang menyebabkan demam darah dan hanya ditemui di Amerika Selatan, tidak boleh hidup dalam persekitaran kering seperti dalam tablet paracetamol.-UTUSAN ONLINE











