JELI 10 Feb.- Pelaksanaan Op Selamat telah memberikan impak positif apabila kadar kemalangan di negeri ini sepanjang Op Selamat Tahun Baharu Cina mencatatkan penurunan daripada 473 kes pada 2016 kepada 456 kes pada tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 11 kes kemalangan maut dicatatkan pada 2016 dengan 11 kematian.
“Manakala tahun lalu, kes kemalangan maut mencatatkan angka sama iaitu 11 kes dengan 12 kematian.
“Jadi, untuk Op Selamat tahun ini, kita telah mengenalpasti 12 kawasan yang sering berlaku kemalangan dan kita akan menempatkan anggota kita untuk mengawasi dan meningkatkan rondaan di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 12/2018 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Kompleks Niaga Tok Wan Mat, Bukit Bunga di sini hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.Tambah Hasanuddin, Op Selamat 12/2018 yang dilaksanakan selama 15 hari bermula semalam hingga 23 Februari ini akan memberi fokus kepada pencegahan kes jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya. – UTUSAN ONLINE










