ZETI FARZANA ALPIKRI /pix (amir)
PETALING JAYA 9 Feb. – “Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, saya dibebaskan hari ini,” itu antara kata-kata pelakon, Sofi Jikan sebaik sahaja dia dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. Sofi Jikan, 48, atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan dibebaskan daripada tahanan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu selepas keterangannya diambil berhubung kes positif dadah jenis ganja.
Kes tersebut kini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan. Terdahulu, Sofi Jikan dilihat berada di dalam kereta peronda polis jenis Proton Inspira di Mahkamah Petaling Jaya kira-kira pukul 10.10 pagi.
Bagaimanapun, pelakon itu terus dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk proses jaminan polis dan keluar kira-kira pukul 11.40 pagi.
Artis tersebut diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan. Sementara itu, ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai hubungannya dengan pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil, Sofi Jikan menjawab ‘hanya Tuhan saja yang tahu.’ Pelakon yang popular dengan dialog ‘Wa Kasi Sengat’ dalam filem KL Gangster itu turut melahirkan rasa syukur dengan dugaan yang menimpanya. “Ini ujian Allah dan kita semua insan yang lemah. No Comment,” katanya.
Akhbar baru-baru ini melaporkan, pelakon itu ditahan semasa hadir ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Farid Kamil pada 31 Januari lalu. Farid Kamil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dianiaya oleh tiga rakan artis yang memasukkan dadah dalam minumannya sehingga dia berkelakuan ganas di balai polis bulan lalu. habis//










