KUALA LUMPUR 9 Feb. – Tuntutan insurans kenderaan pada 2017 meningkat tujuh peratus kepada RM5.379 bilion berbanding RM5.021 bilion pada 2016 bersamaan bayaran sebanyak RM14.7 juta setiap hari kepada penanggung insurans.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Mark Lim berkata, antara penyumbang kepada peningkatan itu adalah tuntutan kes kecurian kenderaan yang mana pada 2017 sahaja jumlah tuntutan adalah sebanyak 15,323 buah kenderaan, namun jumlahnya berkurangan daripada 20,005 buah pada 2016.
Jelas beliau, tuntutan terhadap kehilangan motosikal merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 8,874 buah, kereta peribadi (5,625 buah) serta kenderaan komersial (824 buah).
“Proton Wira dan Toyota Hilux menjadi model yang paling banyak dicuri dengan masing-masing merekodkan 654 buah dan 537 buah kenderaan diikuti oleh Perodua Kancil (378 buah), Proton Iswara (340 buah) dan Perodua Myvi (290 buah).
“Oleh itu langkah liberalisasi insurans motor yang diperkenalkan pada tahun lalu membolehkan pemilik kenderaan mendapatkan polisi terbaik bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya,” katanya dalam taklimat prestasi industri insurans am 2017 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PIAM, Antony Lee, Timbalan Pengerusi PIAM, Chua Seck Guan; Convenor Perhubungan Awam dan Tanggungjawab Sosial Korporat PIAM, Steve Crouch serta Penyelaras Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC), Mohd. Yusof Idris.










