Azreen Manan sakit, ibu alu-alukan bantuan daripada persatuan artis - Utusan Malaysia

Azreen Manan sakit, ibu alu-alukan bantuan daripada persatuan artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ibu kepada penyanyi popular ketika era 1980-an, Azreen Manan yang kini sedang menghidap kanser serviks tahap empat dan komplikasi buah pinggang mengalu-alukan bantuan daripada mana-mana persatuan artis yang ada di negara ini. 

Perkara berkenaan disuarakan oleh Zawanai Ahmad Affandi ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini penyanyi itu. 

Kata Zawanai, 63, sejak dimasukkan ke Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya sejak Sabtu lalu, Azreen dalam keadaan stabil namun tidak dapat meneruskan proses kemoterapi kerana perutnya dipenuhi air. 

“Buat masa sekarang doktor perlu membuang air itu terlebih dahulu. Insya-Allah, kalau semuanya okey kita akan sambung buat kemoterapi. 

“Jika keadaan dia masih tidak menunjukkan perkembangan positif, saya merancang untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital swasta. Cuma kosnya terlalu tinggi. Kalau ada mana-mana persatuan artis yang sudi menghulur bantuan, saya terima dengan tangan terbuka,” katanya. 

Terdahulu, berita tentang penyakit Azreen dikongsikan oleh pelakon Betty Banafe menerusi Instagramnya dua hari lalu. 

“Rakan kami, Azreen Manan sedang menghidap kanser tahap empat dan akan melakukan pembedahan untuk buah pinggangnya. Sesiapa yang mengenalinya, mohon doa dan sokongan moral untuk dia kuat menghadapi dugaan ini,” tulisnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×