LABUAN 9 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan mencemar duli merasmikan masjid bersempena dengan nama baginda pada Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 (SHWP2018) peringkat kawasan ini.
Masjid Sultan Muhammad V yang terletak di Kampung Lajau di sini sebelum ini dikenali sebagai Masjid Jamek Al-Mahmudiyyah.
Sultan Muhammad V tiba di pekarangan masjid berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Ketibaan Seri Paduka turut disambut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail; Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar, Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Mustapha Merican dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur , Datuk Mohd. Mustafa Mohd.
Dalam majlis itu, Seri Paduka menandatangani plak perasmian sebagai simbolik perasmian serta pengurniaan sumbangan kepada tabung masjid. – UTUSAN ONLINE










