KUALA LUMPUR 8 Feb. – Tiga sukan yang digugurkan daripada program Majlis Sukan Negara (MSN), sepak takraw, taekwondo dan angkat berat hanya dibenarkan bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak, September ini dan bukan kembali dalam senarai sukan teras.
Bukan berniat membuat pusingan-U tetapi kelonggaran tersebut diberi kepada tiga sukan berkenaan selepas mengambil kira rayuan yang dikemukakan Majlis Sukan Negeri, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
“Kita tidak berniat menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini tetapi setelah mengambil kira rayuan yang dikemukakan pelbagai pihak khususnya Majlis Sukan Negeri, maka kita beri kelonggaran hanya untuk dipertandingkan di Sukma,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Shapawi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma Perak membuat keputusan itu selepas mengambil kira beberapa faktor dan prihatin dengan permohonan serta rayuan Majlis Sukan Negeri yang mewakili penggiat sukan di peringkat akar umbi.
Katanya, tindakan memasukkan kembali sukan-sukan itu tidak mengubah kedudukan mereka yang tetap digugurkan daripada senarai sukan teras MSN berasaskan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan Lembaga Pengurus MSN terdahulu.
“Penilaian sebagai sukan teras telah melalui proses kriteria yang berbeza dan lebih menyeluruh berbanding penglibatan semula mereka ke temasya berkenaan.
“Pengurusan MSN akan terus memantau pelaksanaan komitmen ketiga-tiga sukan tersebut dari semasa ke semasa,” tegasnya lagi.
Namun begitu, di sebalik kelonggaran yang diberikan, Ahmad Shapawi berkata, MSN tetap meletakkan beberapa syarat untuk dipatuhi ketiga-tiga sukan itu.
Bagi taekwondo, atlet bukan dari Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) mesti diberi peluang melalui proses pemilihan mewakili negeri ke Sukma dan kejohanan antarabangsa lain dalam usaha melahirkan bakat baharu.
Bagi angkat berat, semua atlet, jurulatih, pegawai dan pencinta sukan itu di peringkat kelab, daerah, negeri serta kebangsaan harus memastikan tiada lagi kes doping berlaku dalam Sukma mahupun kejohanan lain.
Tegas Ahmad Shapawi, sekiranya berlaku lagi kes doping dalam kalangan penggiat sukan angkat berat di sebarang kejohanan, maka sukan itu sama sekali tidak akan dipertimbangkan untuk dipertandingkan di temasya akan datang.
“Bagi sepak takraw, Persatuan Sepak Takraw Malaysia telah berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan.
“Mereka bersetuju untuk menyusun semula organisasi serta menyediakan program pembangunan jangka panjang yang lebih terperinci bagi meningkatkan prestasi sukan itu di setiap peringkat umur,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Sukan Paralimpiad, beliau memberitahu, Jawatankuasa Tertinggi telah bersetuju menjenamakan semula temasya itu.
Ia akan ditukar nama kepada Sukan Para Sukma dan akan diselaraskan oleh MSN sebagai Urusetia Tetap Sukan Para Sukma bermula 2018.










