Undang-undang kekang berita palsu kembalikan hak rakyat - Utusan Malaysia

Undang-undang kekang berita palsu kembalikan hak rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Undang-undang baharu untuk kekang berita palsu dapat mengembalikan semula hak rakyat negara ini untuk mendapatkan berita dan maklumat yang benar dan tepat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, undang-undang ini sepatutnya diperkenalkan sejak dahulu lagi supaya penyebaran berita palsu tidak menjadi buruk seperti yang ada pada hari ini.

“Namun masih belum terlambat untuk kita segera memperkenalkan undang-undang tersebut sebelum rakyat negara ini menjadi semakin jauh tersesat dan dikelirukan oleh penyebaran berita-berita yang tidak benar dan lebih berbentuk fitnah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu akan terpakai kepada semua dan bukan hanya tertakluk kepada perkara yang berkaitan politik berikutan meningkatnya berita-berita palsu.

Nazir Hussin berkata, pada hari ini, kebebasan media dan kebebasan bersuara telah disalah guna untuk kepentingan dan agenda tertentu yang tidak sihat sedangkan perbuatan tersebut boleh menafikan hak utama dan hak asasi rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat yang benar.

“Tidak kiralah isu apa pun sama ada politik, kesihatan, kewangan dan pendidikan dan sebagainya yang kadangkala orang ramai bergantung kepada maklumat untuk mereka membuat keputusan dan pilihan dalam hidup.

“Dalam negara sedang menuju negara maju tetapi sayangnya masih ada kalangan rakyat yang masih mindanya jauh tertinggal ke belakang dengan sanggup menyebarkan berita dan maklumat palsu.

“Kononnya mengamalkan demokrasi sedangkan apa yang berlaku, berita-berita dimanipulasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE

OLEH SITI AINIZA KAMSARI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×