Syor keluar duit KWSP Akaun 1 beli rumah - Utusan Malaysia

Syor keluar duit KWSP Akaun 1 beli rumah

Seramai 5.8 juta pencarum dilaporkan tinggal baki duit kurang RM10,000 dalam akaun KWSP. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan caruman daripada Akaun 1 untuk membeli rumah.

Pengarah Urusan Land & General Berhad (L&G), Low Gay Teck ketika mengemukakan cadangan itu berkata, ramai pembeli rumah terutama golongan muda dan baharu bekerja sukar menyediakan wang deposit meskipun menggunakan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 2.

Menurut beliau, ini kerana, golongan berkenaan mempunyai jumlah simpanan yang sedikit di dalam Akaun 2, selain sukar mendapat pinjaman institusi kewangan, sekali gus membantutkan hasrat memiliki kediaman pada usia muda.

Kata Gay Teck, pengeluaran wang daripada Akaun 1 untuk membeli rumah turut disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang lebih baik apabila hartanah terbabit mampu dijual semula pada harga lebih tinggi.

Beliau memberi contoh, jika seorang pembeli berumur 30 tahun mengeluarkan wang daripada Akaun 1 untuk membeli rumah bernilai RM200,000, sudah pasti dalam tempoh 25 tahun kemudian hartanah itu mungkin boleh dijual dengan harga RM600,000, RM800,000 atau lebih berdasarkan lokasi, dalam tempoh 25 tahun kemudian.

Nilai tersebut jelasnya, belum tentu mampu dimiliki pencarum terbabit dalam tempoh berkenaan, hasil daripada carumannya di dalam KWSP semata-mata.

“Tetapi, simpanan KWSP dalam tempoh 25 tahun itu, tak mungkin naik pada harga tersebut. Kalau nak kawal wang itu tak boleh diguna untuk beli kereta dan lain-lain, boleh kawal. Memang ada prosedur untuk kawal.

“Saya tahu, pihak berkuasa akan kata wang KWSP untuk umur persaraan. Tetapi, kalau anda beli rumah guna wang itu, wang tersebut ada di rumah yang dibeli.

“Apabila anda mencapai umur persaraan, kalau anda jual rumah atau apartmen yang dibeli, anda juga akan mendapat wang untuk persaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Gay Teck, untuk memastikan wang tersebut tidak disalah guna, kerajaan atau KSWP boleh memperkenalkan peraturan tertentu termasuk mensyaratkan nilai yang dikeluarkan perlu dimasukkan semula ke Akaun 1 sekiranya rumah dijual dan pencarum belum mencapai umur persaraan.

“Ambil wang untuk beli rumah sahaja, lepas beli dan nak jual, wang kena masuk balik (dalam Akaun 1). Boleh buat peraturan. Itu boleh selesai banyak masalah,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan pengalaman inflasi dalam tempoh 50 tahun lalu, harga hartanah adalah lebih tinggi daripada pulangan simpanan di mana-mana institusi kewangan termasuk KWSP.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kerajaan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mencari kaedah bagi membantu pembeli hartanah untuk memiliki kediaman pada usia muda.

“Ini kerana, bakal pembeli kerap berdepan dengan syarat-syarat yang ketat dikenakan oleh institusi kewangan. Mereka tidak mendapat margin pembiayaan yang inginkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×