KUALA LUMPUR 7 Feb. – Kumpulan Utusan mempelawa syarikat-syarikat dan sektor awam untuk mendaftar sebagai calon penerima Anugerah Bisnes Utusan atau Utusan Business Awards yang dibuka sehingga 23 Februari ini.
Pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Sekretariat Utusan Business Awards 2017 di talian 03-8070 7666, faks 03-8070 0666 atau e-mel info@utusanawards.com atau layari laman web www.utusanawards.com.
Menurut Kumpulan Utusan, kesinambungan acara yang bakal berlangsung Mac ini, diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pemain-pemain industri dalam sektor industri masing-masing sepanjang 2017.
“Bangga dengan kejayaan sejak penganjuran julung kali pada 2016, Kumpulan Utusan sekali lagi mengadakan Utusan Business Awards bagi menghargai syarikat dan individu yang menyumbang kepada kemajuan negara dan masyarakat.
“Penganjuran kali ini diharapkan berupaya menggalakkan kecemerlangan serta merangsang iklim persaingan yang positif dalam sektor perniagaan tempatan,” jelas kumpulan syarikat akhbar berbahasa Melayu itu di sini hari ini.
Penganugerahan untuk tahun 2017 ini akan dinilai berdasarkan kepada kekukuhan pertumbuhan perniagaan dan pencapaian sesuatu calon, serta aspek sokongan terhadap masyarakat dan sektor ekonomi setempat.
Di samping itu juga, peningkatan aliran perniagaan, pelaksanaan amalan-amalan baik dalam perniagaan serta pencapaian perniagaan luar biasa juga merupakan antara kriteria yang diambil kira di dalam penilaian pihak juri.
Kumpulan Utusan memberitahu, proses penilaian akan dilakukan oleh tokoh-tokoh yang berpengalaman serta pakar dalam dunia perniagaan.
“Anugerah ini masih mengekalkan beberapa kategori utama seperti Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dan Anugerah Tokoh Negarawan Ulung, lebih 30 anugerah bakal diiktiraf kepada peneraju-peneraju syarikat perniagaan kali ini,” katanya.
Anugerah itu akan memberi inspirasi dan menggalakkan penggiat industri perniagaan untuk mengetengahkan produk mereka sekali gus mempromosikan Malaysia ke arena antarabangsa selaras dengan komitmen kerajaan.
Antara penerima anugerah sebelum ini ialah Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Utusan IJM Corporation Bhd., Datuk Soam Heng Choon; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd., Datuk Sri Jamaludin Ibrahim dan ramai lagi.








