SEVILLE, Sepanyol 8 Feb. – Sevilla bangkit daripada dimalukan selepas tewas kepada Eibar dengan menempah slot ke saingan akhir Piala Raja Sepanyol buat kali kedua dalam tiga musim apabila menewaskan Leganes 2-0 untuk agregat 2-1, awal pagi tadi.
Dua gol Sevilla dalam aksi separuh akhir kedua itu diperoleh menerusi Joaquin Correa pada minit ke-15 dan Franco Vazquez minit ke-89.
Jurulatih Sevilla, Vincenzo Montella berkata, kemenangan tersebut diraih hasil kerjasama berpasukan dalam kalangan semua pemain.
“Kini kami tahu bagaimana untuk terus bersatu terutama ketika kami di bawah dan saya juga berterima kasih kepada semua kerana kami berjaya melangkah ke saingan akhir.
“Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat buat pasukan pada musim ini,” kata Montella. – REUTERS









