Bincang isu rakyat Malaysia terbabit kemalangan dalam JCM - Utusan Malaysia

Bincang isu rakyat Malaysia terbabit kemalangan dalam JCM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 7 Feb. – Kementerian Luar tidak menolak kemungkinan membawa isu kesulitan rakyat Malaysia yang mengalami kemala­ngan jalan raya di Thailand untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Thailand akan datang.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, mekanisme perbincangan dua hala JCM yang membabitkan Menteri Luar kedua-dua negara telah menyelesaikan pelbagai isu-isu berbangkit sebelum ini.

“Terdapat perbezaan struktur undang-undang dan insurans (antara Malaysia dan Thailand) dan ini menyebabkan ada kala­ngan rakyat kita merasa tidak mendapat pembelaan sepenuhnya dan kadangkala terpaksa membayar jumlah yang tinggi.

“Saya terima memorandum hari ini dan kita akan bawanya ke atas. Saya juga bercakap dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pelanco­ngan dan Kebudayaan untuk melihat perkara ini secara mendalam termasuk membawa perkara ini antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Bikers United Club Malaysia (BUCM) dan Federation of Superbikers Association Malaysia (SAM) yang mengemukakan beberapa cadangan bagi menambah baik aspek kepentingan rakyat Malaysia yang menghadapi kemala­ngan semasa berada di Thailand.

Antara isu rakyat Malaysia yang mengalami kemalangan jalan raya sama ada ketika bercuti ataupun berkonvoi motosikal di Thailand adalah terpaksa berdepan pelbagai kesulitan termasuk membayar pampasan tinggi bagi menuntut mayat atau tuntutan kemalangan.

Reezal Merican berkata, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengkaji secara mendalam isu berkenaan agar kemalangan membabitkan rakyat Malaysia di Thailand mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya nasihatkan kepada mereka melakukan perjalanan ke Thailand supaya kemukakan maklumat kepada Pejabat Konsulat kita di Songkhla atau kepada pejabat kedutaan kita di Bangkok. Dengan itu, kepentingan mereka lebih terjamin,” katanya yang juga yakin isu berkenaan juga boleh dibincangkan dalam Konsultasi Tahunan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, Naib Presiden BUCM, Azuan Abu Bakar berkata, antara cadangan yang dikemukakan pihaknya adalah mewajibkan skim insurans kepada penunggang atau pemandu kenderaan Malaysia yang ingin memasuki Thailand selain menggiatkan kempen ke­sedaran keselamatan jalan raya di pintu keluar masuk negara.

Katanya, pihaknya juga mencadangkan kerajaan melantik perunding atau peguam tempatan warga Thailand sebagai perantara jika berlaku sebarang kemala­ngan dan menyediakan maklumat lengkap termasuk nombor telefon syarikat insurans yang boleh dihubungi serta-merta.

Menurutnya, antara aduan in­siden kesulitan baru-baru ini adalah mengenai mayat seorang penunggang motosikal warga Malaysia yang hanya dapat dikeluarkan dari Thailand selepas ahli keluarga mangsa membayar kira-kira RM15,000 kepada pemilik kende­raan warga Thailand yang terbabit kemalangan selain terpaksa mencagarkan motosikal rakan mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×