PUTRAJAYA 7 Feb. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan agihan hibah Tabung Haji 2017 atau bonus kepada pendeposit sebanyak 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji bagi tahun kewangan 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hibah itu melibatkan pembayaran berjumlah RM2.7 bilion.
Menurut beliau, pembayaran hibah 6.25 peratus itu akan memberi manfaat kepada 93 peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji
Jelasnya, 600,000 pendeposit yang telah menunaikan haji juga akan menerima hibah sebanyak 4.50 peratus.
“Pengagihan hibah ini telah mengambil kira pembayaran zakat sebanyak RM68 juta kepada semua pusat pungutan zakat negeri dan juga kepada asnaf-asnaf yang layak di seluruh negara.
“Tabung Haji juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir RM2.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM0.3 bilion berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM2.5 bilion,” katanya berucap pada majlis Pengumuman Hibah Tabung Haji 2017 di Kompleks Islam di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah.
Pendeposit boleh menyemak pengkreditan hibah di kaunter Tabung Haji dan institusi perbankan seperti Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik mulai Isnin depan.
“Para pendeposit perlu tahu hibah atau hadiah yang diberi oleh Tabung Haji tidak boleh kekal dengan kadar meningkat kerana ianya bergantung kepada kemampuan kewangan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Jamil Khir seterusnya memberitahu, bagi tahun kewangan 2017, Tabung Haji telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM4.5 bilion, peningkatan sebanyak RM1.1 bilion atau 31 peratus berbanding tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.
Jelasnya, keuntungan pendapatan itu disumbang oleh anak-anak syarikat Tabung Haji untuk tempoh kewangan 2017 sebanyak RM1.1 bilion seperti BIMB Holdings Berhad (RM706 juta); TH Properties Sdn. Bhd. (RM113 juta) dan Kumpulan TH Hotel & Travel (RM104 juta).
Selari dengan amalan pengurusan portfolio yang baik jelasnya, Tabung Haji juga melakukan rosot nilai sebanyak RM470 juta bagi pelaburannya di dalam syarikat dan gas yang masih terjejas ekoran kemelut yang melanda industri ini.









