ALOR SETAR 6 Feb. – Kebimbangan peminat badminton negara terhadap kemampuan Malaysia akhirnya menjadi kenyataan selepas dikejutkan 2-3 oleh Thailand dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Kejohanan Badminton Asia di sini, hari ini.
Hanya Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zhii Jia menghadiahkan mata buat Malaysia dalam perlawanan di Stadium Sultan Abdul Halim, sekali gus menyukarkan misi untuk muncul juara kumpulan bagi mengelak undian sukar di suku akhir.
Pemain yang masih segar dengan kejayaan melangkah ke separuh akhir Terbuka India minggu lalu, Iskandar Zulkarnain Zainuddin gagal menjadi penyelamat apabila tewas 13-21, 14-21 kepada Kantaphon Wangcharoen dalam aksi penentuan dalam masa 43 minit.
Terdahulu, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menyumbang mata pertama Malaysia selepas mudah mengetepikan Khosit Phetpradab 21-13, 21-9 dalam tempoh 33 minit.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bagaimanapun gagal mengukuhkan kedudukan selepas tumpas 21-16, 19-21, 20-22 kepada Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam aksi beregu lelaki yang memakan masa hampir sejam.
Turun sebagai perseorangan kedua, Zii jia menampilkan aksi cemerlang untuk kembali meletakkan Malaysia di hadapan selepas menundukkan Suppanyu Avihingsanon 21-14, 21-12.
Gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin juga gagal menyumbang mata buat negara selepas tewas 17-21, 11-21 kepada Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash dalam beregu kedua.
Pasukan negara kini akan menentang Myanmar esok, sebelum menutup saingan dengan bertemu Taiwan pada Khamis.
Kejohanan Berpasukan Asia menjadi pentas kelayakan ke Piala Thomas di Bangkok, Mei ini. – UTUSAN ONLINE










