KOTA BHARU: Seorang warga emas yang parah selepas disondol seekor babi hutan sewaktu mengutip buah durian di dusun minggu lalu masih trauma dengan kejadian tersebut di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini.
Bukan itu sahaja, warga emas berkenaan, Omar Ngah, 78, tidak membenarkan isteri, anak dan cucu bermain di halaman rumah tersebut susulan kejadian tersebut.
Omar berkata, dia masih takut kerana hampir kehilangan nyawa dalam kejadian itu selain bimbang babi hutan itu akan kembali menyerang ahli keluarganya.
Menurutnya, dia yang menerima jahitan pada kepala, luka di telinga dan cedera tangan kirinya masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya kini berulang-alik ke klinik berdekatan rumah untuk mencuci tangan yang berbalut kerana luka belum sembuh sepenuhnya.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur apabila dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini selama lima hari,” katanya.
Menceritakan mengenai kejadian tersebut baru-baru ini, Omar berkata, sebelum disondol babi hutan, dia terlebih dahulu dirempuh seekor haiwan tersebut semasa sedang mengutip buah durian di dusun berkenaan.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia terjatuh ke dalam parit sedalam 0.5 meter dan disondol haiwan tersebut buat kali kedua sebelum ia menggigit bahagian lengannya sehingga koyak.
“Saya rasa perit dan tidak mahu lagi terserempak dengan babi hutan yang dikhabarkan masih banyak berkeliaran di belakang rumah,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang warga emas parah selepas disondol seekor babi hutan sewaktu mengutip buah durian di dusun buah-buahan berhampiran rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput dekat Pasir Tumboh di sini pada Rabu minggu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu Omar cedera pada kepala, telinga dan kedua-dua belah tangannya selepas bergelut dengan haiwan tersebut selama lima minit. – UTUSAN











