TAIPING – Seramai 31 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping di sini mengalami gejala keracunan makanan dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping di sini hari ini.
Difahamkan, kesemua mereka mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas mereka memakan daging ‘black pepper’ sebelum itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr. K. B. Venugopalan berkata, seorang pelajar dimasukkan ke wad akibat keracunan makanan manakala selebihnya hanya dirawat sebagai pesakit luar.
Berita berkaitan:
“Semua mereka dirawat sebagai pesakit luar melainkan seorang pelajar yang ditahan di wad.
“Bagaimanapun, dia kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Tambah Venugopalan, susulan itu pihaknya telah bertindak melakukan siasatan dan kawalan di dewan makan sekolah tersebut.
“Dewan makan sekolah itu kini ditutup dalam tempoh satu atau dua hari agar siasatan lanjut dapat dilakukan,” jelasnya. – K! ONLINE











