LARUT 8 Julai – Ketibaan musim durian ketika ini menjadikan Pekan Batu Kurau di sini meriah dengan kunjungan orang ramai yang ingin menikmati raja buah tersebut.
Kampung Sempeneh Chempaka merupakan antara lokasi di sekitar pekan kecil tersebut yang menjadi tumpuan para peraih dari kawasan luar dan pembeli untuk mendapatkan durian serta buah-buahan lain.
Bagi seorang peraih di Kampung Sempeneh Chempaka, Azmi Ismail, 50, durian Batu Kurau mendapat permintaan yang tinggi sejak dari dahulu lagi malah kawasan ini dikenali sebagai pengeluar buah durian yang terbaik dari segi rasa dan kualitinya.
Dia berkata, antara durian yang mendapat permintaan tinggi adalah durian kampung, durian king, durian kucing tidur serta pelbagai jenis durian lain kerana bau, isinya yang padat, manis dan enak.
“Ketika ini durian baru sahaja luruh dan jumlahnya dijangka semakin banyak dalam tempoh terdekat.
“Dahulu durian dijual secara longgok tetapi kini ditimbang dan harganya mengikut saiz. Harga yang saya beli daripada pemilik dusun durian adalah lebih kurang RM5 sekilogram,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Azmi, kebiasaannya pemilik dusun durian akan mengutip durian pada waktu pagi dan dijual kepadanya pada waktu petang.
Dia memberitahu, pada waktu petang, peraih luar sudah bersedia dengan lori masing-masing untuk mengangkut durian yang dibeli daripada penduduk kampung.
“Purata yang dijual kepada saya setiap hari lebih 100 bakul malah pernah sehingga 500 bakul sehari,” jelasnya.
Azmi berkata, ada di antara peraih luar yang sudah 10 tahun menjadi pelanggannya dan apabila disebut sahaja durian Batu Kurau, mereka sudah tahu keistimewaannya.
“Durian Batu Kurau ada kelas tersendiri, itu yang peraih luar kata mengenai durian di sini.
“Durian di sini rasanya yang enak kerana tanahnya yang berbukit dan berhampiran dengan banjaran,” katanya.
Dia menambah, durian merupakan sumber pendapatan penduduk di sini sejak dahulu lagi dan dusun yang mereka miliki sekarang diwarisi secara turun-temurun.
Azmi berkata, lebih 100 sehingga 200 penduduk di sini yang mempunyai dusun sendiri.
“Dahulu musim durian atau buah-buahan mengikut musim tetapi sekarang boleh dikatakan ia berbuah sepanjang masa dan ini memberikan pendapatan yang lebih untuk penduduk,” jelasnya.
Sementara itu, penduduk, Hashim Ahmad, 50, berkata, suasana di Batu Kurau ibarat pesta pada musim durian berikutan ramai orang yang datang termasuk dari jauh untuk membeli buah tersebut.
Dia berkata, selain durian, manggis, petai padi atau petai kampung serta pisang juga mendapat permintaan yang tinggi.
“Kedatangan orang luar pada musim buah-buahan di sini juga menyebabkan tempahan inap desa di sini meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Rainah Mohd. Toha, 70, mengambil peluang membuat tempoyak ketika musim durian.
“Tempoyak boleh disimpan lama dan ia sedap dimakan dengan ulam. Membuat tempoyak memberi pendapatan kepada penduduk kampung,” jelasnya.











