Tragedi bot karam di Phuket - Utusan Malaysia

Tragedi bot karam di Phuket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Pasukan penyelamat Thailand mengerahkan beberapa buah helikopter untuk mencari mangsa yang hilang selepas sebuah bot membawa pelancong China karam, manakala seorang pegawai berkata, peluang untuk menemui yang terselamat sudah berkubur, menjadikan angka kematian dalam tragedi itu berjumlah hampir 60 orang.

Angka kematian rasmi dalam kemalangan itu yang berlaku di luar pulau peranginan Phuket berjumlah 37 orang tetapi penyelam tentera laut berkata, mereka melihat sebilangan mayat masih berada di dalam bot karam itu, Phoenix.

Bot itu terbalik dan karam ketika laut bergelora kelmarin bersama 105 orang, 93 daripadanya merupakan pelancong China di samping 
12 kru dan pemandu pelancong ­warga Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pegawai Jabatan Marin berkata, tiada peluang untuk menemui mangsa terselamat lain di dalam bot tersebut.

“Satu hari dan satu malam telah berlalu,” kata pegawai berkenaan, Kritpetch Chaichuay.

“Seramai 11 mangsa turut cedera (dua parah, lima cedera ringan). Kami meneruskan usaha untuk mencari mereka yang hilang,” kata Jabatan Keselamatan Air di bawah Jabatan Pelabuhan pula dalam satu kenyataan.

“Seramai 48 orang berjaya di­selamatkan,” tambahnya.

Kor Marin Diraja Thailand menyatakan dalam satu kenyataan bahawa bot Phoenix karam sekitar 7 kilo­meter dari Phuket dan tenggelam pada kedalaman antara 38 hingga 40 meter di dasar laut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan China di Bangkok memberitahu bahawa pihaknya telah meminta kerajaan Thailand melancarkan usaha menyelamat secara menyeluruh.

Kedutaan China turut menghantar sebuah pasukan ke Phuket untuk memberikan bantuan.

Sementara itu, sebuah lagi bot yang belayar di kawasan sama, Serenta turut karam. Bot itu membawa seramai 35 pelancong, lima kru dan seorang pemandu pelancong. Kebanyakan penumpangnya telah diselamatkan tetapi dua mangsa masih hilang.

Thailand kini di tengah musim hujan monsun yang bermula pada Mei dan biasanya berakhir pada bulan Oktober. Musim berkenaan mengakibatkan angin kencang bertiup ke kawasan pantai disusuli kejadian ribut. 
– Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN