Air percuma di Johor hanya untungkan syarikat air - ADUN Benut - Utusan Malaysia

Air percuma di Johor hanya untungkan syarikat air – ADUN Benut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan negeri untuk memberikan 10 meter padu air percuma kepada rakyat negeri ini dengan perbelanjaan RM25 juta setahun tidak memberi kesan kepada golongan sasar, tetapi sebaliknya hanya akan menguntungkan syarikat air yang dimiliki pihak swasta.

Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung perkara itu biar pun mahu menunaikan janji yang dibuat Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, menerusi pemberian 10 meter padu air percuma itu, kerajaan negeri akan hilang RM25 juta setahun, satu jumlah hasil yang besar bagi sesebuah negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar perlulah memahami dan mendapat gambaran daripada syarikat air Johor terlebih dahulu berkaitan cara penetapan kadar air yang dikenakan selain perlu berpuas hati dengan kos rawatan air yang dikenakan SAJ Ranhill Sdn. Bhd. (SAJ Ranhill) berpatutan atau tidak.

“Dengan membayar SAJ Ranhill sebanyak RM25 juta setahun, ditambah dengan kenaikan tarif air yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2019, maka jelas rakyat akan terus diperbodohkan,” katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Hasni berkata, daripada membuat keputusan pemberian air percuma itu, kerajaan negeri sepatutnya berusaha memperoleh kuasa dan suara yang lebih dalam syarikat SAJ Ranhill kerana dengan langkah itu, maka perancangan untuk menjaga kepentingan rakyat menjadi lebih berkesan dan bermanfaat.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan pemberian air percuma kepada sejumlah isi rumah berpendapatan rendah di negeri ini akan dilaksanakan bermula awal September depan.

Osman berkata, pelaksanaannya yang melibatkan perbelanjaan RM25 juta setahun itu sudah diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dua hari lepas (Rabu) dan menerusi semakan, dianggarkan kira-kira 395,000 rakyat Johor layak menerima pemberian air percuma berkenaan yang bernilai RM10.

Dalam manifesto PRU-14 lepas, Pakatan Harapan Johor berjanji memberi 10 meter padu air percuma kepada golongan B40 selain akan memastikan rakyat menikmati bekalan air berkualiti tanpa gangguan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN