KLANG 6 Julai – Polis akan mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak lain yang mendakwa ternampak Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif, lima bulan digoncang badan dan diketuk kepala oleh suspek kerana asyik menangis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya akan mengambil semua keterangan dan memanggil mana-mana individu yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.
“Kita dengar pelbagai cerita tetapi ia belum disahkan lagi. Namun, kita difahamkan, bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Oleh demikian siasatan kita bermula daripada situ sehingga bayi ini ditemukan meninggal dunia.
“Sekiranya ada keterangan, kita mohon individu terbabit menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab dan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan.
Kelmarin, Adam Rayqal yang berusia lima bulan dilaporkan dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya yang berusia 33 tahun dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang menyebabkan ibu-bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.
Bagaimanapun penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan kepada pihak polis dan wanita itu akhirnya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.
Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam, mayat mangsa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaiannya. – UTUSAN ONLINE











