PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan tindakan pembekuan akaun cucu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu perbuatan untuk membalas dendam.
Jelas beliau, jika ahli keluarga Najib tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut dan menganggap ia adalah satu kesalahan, mereka boleh membawa perkara tersebut kepada mahkamah.
“Balas dendam apa? Yang dia buat dulu lebih lagi. Masa itu kita tidak mengadu, semua kawan-kawan saya dihalau tidak bagi berkawan dengan saya malah akaun mereka telah dibekukan tetapi kita tak ada mengadu.
“Ini adalah tuduhan. Apa nak tuduh, dia boleh tuduhlah sebab dia yang salah. Kalau dia kata ini (beku akaun) salah, dia boleh bawa ke mahkamah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (Naib Presiden Kebangsaan DAP).
Semalam, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa mempersoalkan kewajaran pihak bank membekukan akaun anak lelakinya yang berusia 10 bulan.
Dalam satu catatan di Facebook beliau, Nooryana Najwa memberitahu, akaun anaknya itu mengandungi hanya RM100 yang merupakan duit raya pertamanya tahun ini.
Beliau juga mempersoalkan sama ada kerajaan baharu sangat berdendam sehingga ingin menyingkirkan kesemua anggota keluarganya yang kini sedang disiasat berhubung kes syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd.
Dalam pada itu, Nooryana Najwa mendakwa akaun peribadi beliau yang digunakan untuk membayar yuran pembelajaran sendiri turut dibekukan. – K! ONLINE











