KUALA LUMPUR 6 Julai- Produser dan pengarah kontroversi, Raja Azmi masih mencari penaja bagi membiayai filem baharunya, … Dalam Botol 2 yang merupakan kesinambungan kepada filem tajuk sama yang pernah mencetuskan kontroversi dahulu.
Jelas Raja Azmi, dia belum berani untuk memulakan penggambaran kerana modal yang belum mencukupi sekalipun filem tersebut dijangka memakan belanja yang tidak begitu besar.
“Bajet untuk memulakan penggambaran itu belum cukup, jadi saya tengah mencari penaja yang sudi. Sebelum ini, …Dalam Botol pernah mencetuskan kontroversi dan berjaya mendapat kutipan lebih RM1juta,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Azmi berkata, … Dalam Botol 2 bakal mengetengahkan isu keagamaan dengan lebih mendalam serta penuh dengan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pengajaran.
Tambahnya, konflik kekeluargaan dan masalah dalaman diri yang dihadapi watak utama adalah antara kekuatan filem baharunya itu.
“Kali ini watak utama, Ruby atau Rubidin kembali terjebak dengan kehidupan lampau dan berperang dengan jiwanya sendiri. Bagaimana dia mampu menolak keinginan diri dan kembali ke jalan Allah, itu antara konflik filem ini.
“Malah, … Dalam Botol 2 juga bakal mengetengahkan perasaan ibu bapa kepada golongan tersebut yang mungkin tidak ramai yang tahu. Perasaan sebenar mereka menerima takdir tuhan,” katanya.
Sementara itu, Raja Azmi juga sudah bersedia untuk menerima kecaman dan kritikan netizen terhadap filem tersebut.
“Kecaman, kritikan itu semua lumrah kehidupan. Siapa sahaja yang tidak dikecam zaman sekarang. Kita baik pun orang kecam, apatah kalau kita melakukan kesilapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











