Bertarung dengan masa - Utusan Malaysia

Bertarung dengan masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAE SAI 5 Julai – Para penyelamat Thai kini bertarung dengan masa untuk mengeluarkan 12 remaja dan seorang jurulatih pasukan bola sepak yang ditemukan selamat tetapi terangkap dalam kompleks gua Tham Luang di utara Thailand.

Kebimbangan kemungki­nan berlaku hujan yang berterusan bermula esok boleh menyebabkan gua berkenaan dipenuhi air banjir dan menjejaskan misi menyelamat.

Sejumlah 13 set peralatan menyelam disediakan untuk pasukan tersebut yang terpaksa bertahan selama 12 hari di dalam gua berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, air dipam keluar dari gua sepanjang masa, mengurangkan jumlah air banjir sebanyak satu sentimeter (cm) sejam.

Gabenor wilayah Chaing Rai, Narongsak Osottanakorn yang mengetuai usaha menyelamat yang pertama seumpamanya mengakui bahawa misi pihak­nya adalah usaha untuk mengelak banjir berlaku.

“Kebimbangan terbesar kami ialah cuaca. Kami sedang mengira berapa banyak masa yang ada jika hujan, berapa jam dan hari,” katanya kepada wartawan tanpa memberikan butiran lanjut.

Bagi tanda perlunya usaha berkenaan disegerakan, Osottanakorn berkata, penyelam Tentera Laut Diraja Thailand (SEAL) dan petugas kesihatan sedang menilai remaja ber­kenaan sama ada mereka sihat dan boleh dibawa keluar de­ngan segera.

Sebelum ini, Osottanakorn berkata, tidak ada risiko yang terpaksa diambil apabila pemindahan mangsa dibuat.

Bagaimanapun, usaha supaya mangsa berkenaan menyelam untuk keluar dilihat berisiko ke­rana penyelam profesional sendiri mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke tebing berlumpur di mana kanak-kanak lelaki berada.

Kebanyakan anak muda yang berumur antara 11 sehingga 16 tahun tidak tahu berenang dan tiada pengalaman menyelam dan pakar SEAL sedang mengajar mereka asas-asas untuk menyelam.

Namun begitu, kawasan yang memerlukan selaman dilakukan untuk keluar sempit dan remaja mungkin terpaksa menyelam dalam air keruh secara sendirian.

Sementera itu, pakar gua ju­ga mencari cerobong ke kawa­san remaja berada sebagai pilihan ke­dua bagi perpindahan mang­sa sekiranya berlaku hujan lebat.

Pihak berkuasa berharap mereka boleh menangani banjir berlaku dengan penggunaan pam berkuasa tinggi menyalurkan 128 juta liter (34 juta gelen) air setakat ini.

“Kami mengeluarkan air sebanyak mungkin,” kata Khao Khieupakdi, pegawai pencegahan bencana Bangkok, yang dipinjamkan ke utara Thailand seperti beberapa pakar lain.

“Saya bimbang kerana ramalan mengatakan lebih banyak hujan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN