Kes Adam Rayqal: Kementerian laksanakan penambahbaikan - Utusan Malaysia

Kes Adam Rayqal: Kementerian laksanakan penambahbaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 5 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan semua agensi kerajaan dapat mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing menjelang 1 Januari tahun depan.

Ke arah itu, Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kementerian akan membuat audit di semua agensi kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan semua agensi tersebut mempunyai pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja terutama mereka yang bekerja secara syif.

Langkah itu katanya, dapat mengelakkan kejadian yang menimpa bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif kelmarin daripada berulang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai galakan kepada majikan yang menyediakan kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak ini, mereka layak mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan.

“Mereka juga diberi insentif pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan serta pemilikan bangunan untuk pusat asuhan kanak-kanak bagi majikan sektor swasta,” katanya kepada pemberita di pejabat kementerian di sini hari ini.

Kelmarin, polis menemukan mayat Adam Rayqal yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor sebelum ini.

Mayat Adam Rayqal ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya telah menahan pengasuh berusia 33 tahun dan rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka.

Selain itu, Hannah memberitahu, kementerian akan mecadangkan kepada Kabinet untuk menambah baik Akta Kanak-Kanak supaya daftar kanak-kanak sedia ada diperkasakan dan merangkumi semua kesalahan jenayah seksual, kesihatan mental dan sebarang rekod mahkamah, polis dan berkaitan.

Sistem berkenaan kata beliau, akan memastikan seseorang yang menjaga atau bekerja dan berurusan dengan kanak-kanak antaranya pengasuh, pengawal keselamatan di sekolah, pemandu bas sekolah, guru-guru pusat tuisyen bakal tertakluk kepada proses pemeriksaan tersebut.

“Melalui sistem ini, akan meminimumkan risiko keselamatan ke atas kanak-kanak terlibat,” katanya.

Hannah berkata, antara penambahbaikan yang dipertimbangkan kementerian adalah mengkaji keperluan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak atau badan bebas kanak-kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN