SERI ISKANDAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak menyita sebanyak 80 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM7,418.00 selepas memeriksa sebuah rumah dan stor di ladang kelapa sawit dekat Tronoh yang tidak mempunyai lesen runcit yang sah di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pemeriksaan itu dijalankan oleh enam anggota selepas melakukan risikan selama dua minggu di lokasi tersebut.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua premis itu dijadikan stor simpanan barangan kawalan LPG untuk edaran di sekitar Tronoh dan Seri Iskandar.
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, kita telah bertemu dengan seorang lelaki berusia 25 tahun yang mengaku sebagai penyelia stor tersebut.
“Siasatan awal mendapati, syarikat tersebut mempunyai lesen runcit LPG yang sah namun stor simpanan itu beroperasi tanpa lesen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shamsul Nizam, siasatan terhadap lelaki itu juga mendapati rumah dan stor itu dijadikan tempat simpanan sementara LPG sebelum ia diedarkan kepada pelanggan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE











