KUALA LUMPUR 4 Julai – Didera pengasuh atau terjatuh daripada tempat tinggi.
Itu antara kemungkinan punca kematian bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang kini sedang disiasat polis.
Ini berikutan laporan awal bedah siasat mendapati bayi itu maut akibat kesan hentakan objek tumpul di kepala.
Terdahulu, Adam Rayqal dilaporkan dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya yang berusia 33 tahun dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang semalam menyebabkan ibu-bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd, Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.
Bagaimanapun penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan kepada pihak polis dan wanita itu akhirnya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.
Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam tadi, mayat mangsa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaiannya.
Luluh hati ibu bapa mangsa apabila mengetahui perbuatan kejam yang dilakukan terhadap satu-satunya anak mereka yang baru seminggu dihantar untuk dijaga oleh suspek.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik HKL hari ini, pihaknya menemukan kesan retak di bahagian kiri serta pendarahan dalaman di bahagian kanan kepala bayi terbabit.
Menurutnya, doktor forensik turut mengesahkan punca kematian bayi itu disebabkan kecederaan di bahagian kepala mangsa.
“Berdasarkan kecederaan itu kita percaya ia mungkin disebabkan dipukul, dihempas atau terkena benda berat,” katanya kepada pemberita dalam program lawatan kerja Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Mengulas lanjut, Fadzil memberitahu, bayi berkenaan baru dijaga selama tujuh hari oleh pengasuh terbabit.
“Selain mangsa, terdapat dua lagi bayi lain yang turut dijaga oleh pengasuh berkenaan termasuk ketika hari kejadian tetapi kedua-duanya telah diambil oleh ibu bapanya mereka pada petang semalam.
“Suspek sudah dua tahun menjadi pengasuh bayi dengan mengiklankan perkhidmatan di laman Facebook,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmat berkata, pihaknya akan melawat semula lokasi kejadian bagi memperoleh bukti-bukti baharu.
“Kita juga telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman selama seminggu suspek dan seorang rakan serumahnya berusia 36 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.











