KUALA LUMPUR – IJM Land Bhd. (IJM Land) dijangka melancarkan beberapa projek pembangunan baharu yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2019.
Pengarah Urusannya, Edward Chong berkata, projek yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada unit kediaman itu akan dibina di Pulau Pinang; Lembah Klang; Seremban, Negeri Sembilan; Johor, Sabah dan Sandakan, Sarawak.
“Kami merancang untuk membina kediaman ini dalam kawasan perbandaran IJM Land sedia ada dan ia merangkumi rumah teres, berkembar dan banglo,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena majlis Sembang Raya bersama Bandar Rimbayu di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu Sdn. Bhd., Chai Kian Soon.
Edward menjelaskan, walaupun pihaknya lebih berhati-hati dalam melancarkan produk di pasaran, namun, disebabkan bank tanah yang ada, ia mempunyai fleksibiliti untuk menawarkan produk bersesuaian dengan harga, lokasi serta kehendak pelanggan.
Ketika ini, stok hartanah IJM Land yang tidak terjual bernilai RM1 bilion, sementara bank tanahnya ialah seluas 1,618 hektar dengan GDV bernilai RM30 bilion.
Sementara itu, menyentuh mengenai prospek industri hartanah, Edward menjelaskan, pihaknya melihat sektor itu akan terus mengukuh, walaupun bukan secara mendadak, dalam masa beberapa bulan akan datang.
“Contohnya, pembelian unit komersial di Bandar Rimbayu menunjukkan peningkatan jualan ekoran pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan kerana ketiadaan kadar standard enam peratus itu memberi penjimatan kepada pembeli.
“Walaupun demikian, saya tidak dapat memberi komen sama ada harga hartanah akan naik mahupun turun apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan berkuat kuasa pada 1 September ini memandangkan butiran lanjut termasuk kadar yang dikenakan masih belum diketahui,”ujarnya.











