Bayaran pengeluaran sumber galian dikaji semula - Utusan Malaysia

Bayaran pengeluaran sumber galian dikaji semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 4 Julai – Kerajaan negeri sedang mengkaji semula bayaran yang dikenakan berhubung pengeluaran pelbagai sumber galian di negeri ini agar berada pada kadar lebih munasabah dan tidak terlalu rendah.

Tengku Hassan Tengku Omar
TENGKU HASSAN TENGKU OMAR

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar memberitahu, itu sebahagian daripada langkah untuk menambah hasil negeri, dan mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum.

Beliau mengambil contoh mengenai ‘fee’ bagi pengeluaran silika yang dianggap pada kadar sangat tidak berpatutan iaitu cuma RM1.50 bagi setiap tan  atau RM1,500 bagi 1,000 tan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terengganu ada banyak bahan galian yang sepatutnya memberikan hasil yang juga banyak namun apa yang diterima tidak seberapa,”ujarnya  ketika menjawab soalan lisan anggota pembangkang, Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Bazlan Abdul Rahman
BAZLAN ABDUL RAHMAN

Bazlan bertanya apakah langkah yang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri yang baharu dibentuk itu untuk menambah hasil negeri melalui pelbagai sumber.

Menurut Tengku Hassan, jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menjalankan kajian itu memberi  tumpuan bagi menyemak semula peraturan dan enakmen berkaitan dengan bayaran yang dikenakan dalam pelbagai urusan perkhidmatan.

“Ini termasuklah urusan transaksi  tanah iaitu bagi daftar pindah milik yang cuma RM40 walaupun harga tanah RM1juta. Cuma `duty stamp’ yang banyak tetapi hasil itu pergi ke Pusat,” ujarnya.

Selain itu katanya,  kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan caj yang boleh dikenakan terhadap agensi pembangunan Pusat seperti Felda dan Felcra berhubung pengggunaan sumber bekalan air negeri dalam sektor perladangan.

 Beliau membayangkan kerajaan negeri tidak akan berdepan dengan kemerosotan sumber hasil dan kekangan kewangan dalam urus tadbirnya pada tahun ini kerana kerajaan Pusat berjanji untuk mengembalikan royalti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN