KOTA BHARU 4 Julai – Pas berharap agar siasatan kes salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjalan mengikut lunas undang-undang dan berpaksikan keadilan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kes itu perlu mempunyai bukti pendakwaan yang lengkap dan bukan mempunyai agenda peribadi semata-mata.
“Kita tunggu proses undang-undang berjalan sepatutnya. Kes ini juga adalah mencari keadilan bukan ada agenda tertentu sama ada dendam kesumat.
“Asas keadilan penting demi kepentingan umum. Kalau dianiaya atau difitnah kita pun simpati, kita juga berharap agar pihak pendakwaan ada bukti lengkap. Ini proses biasa, bekas Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim) pun pernah masuk penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Mohd. Amar mengulas tentang perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Kes dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama 19 hari mulai 18 Februari tahun depan.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menetapkan perbicaraan dijangka bermula pada 18 hingga 28 Februari diikuti pada 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019.
Mahkamah juga membenarkan Najib membayar ikat jamin RM500,000 hari ini manakala baki RM500,000 lagi dibayar pada Isnin ini. – UTUSAN ONLINE











