GOMBAK – Dua suspek kes bunuh bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini, malam tadi direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu di Mahkamah Selayang, di sini, pagi tadi.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa dan mengenal pasti motif pembunuhan. Sehingga masa kini, belum ada senjata ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE











