SUBANG JAYA – Polis berjaya menahan dua pengedar dadah warga asing dalamsatu serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan SS15/4C di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, serbuan tersebut diadakan kira-kira pukul 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Subang Jaya.
“Polis menahan dua lelaki warganegara Senegal dan Ghana yang berusia 29 dan 27 tahun.
“Lelaki Senegal itu tidak bekerja manakala lelaki Ghana pula merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di sini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Subang Jaya di sini hari ini.
Mohammad Azlin menambah, polis turut merampas 3.3 kilogram dadah disyaki jenis ganja dalam bentuk paket dan ketulan mampat bernilai kira-kira RM10,000.
“Turut dirampas sehelai seluar jeans, wang tunai bernilai RM500, tiga gugus kunci, dua beg pakaian, dua telefon bimbit dan satu pasport milik lelaki Ghana itu.
“Berdasarkan siasatan awal, pasaran dadah mereka adalah di sekitar Subang dan tidak mustahil mereka turut menjual kepada pelajar-pelajar di kolej swasta lelaki Ghana tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE











