ALOR SETAR 4 Julai – Kemelut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selesai apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim dipilih memegang jawatan itu dalam Sidang DUN pertama di sini hari ini.
Ahmad, 55, yang merupakan bekas Ahli Parlimen dari PKR itu dilantik setelah memperoleh undi majoriti sebanyak 21 daripada 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir dalam majlis tersebut.
Nama beliau dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM-Jitra) dan disokong oleh Datuk Dr. Ismail Salleh (Parti Amanah Negara-Pengkalan Kundor).
Sementara calon daripada pembangkang Datuk Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah memperoleh 15 undian.
Nama beliau dicalonkan oleh Muhammad Sanusi Md. Noor (Pas-Jeneri) dan disokong oleh Datuk Siti Aishah Ghazali (Pas-Merbau Pulas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan melalui empat parti gabungannya iaitu PKR, PPBM, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP memperoleh 18 kerusi daripada keseluruhan 36 DUN yang dipertandingkan, manakala Pas (15) dan tiga kerusi milik Barisan Nasional. – UTUSAN ONLINE











