KUALA LUMPUR 4 Julai- Polis menemukan mayat bayi lelaki Adam Rayqal Mohd. Sufi yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini malam tadi.
![]() |
|
Asisten Komisioner Ali Ahmad
|
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal yang berusia lima bulan itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut kain napkin serta dimasukkan ke dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah berkenaan.
Menurut beliau, mayat bayi tersebut ditemukan pada pukul 11 malam oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah terbabit.
“Keterangan pengasuh bayi berkenaan telah diambil dan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangannya.
“Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ali, susulan itu, pihaknya telah menahan pengasuh berusia 33 tahun berkenaan bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.
Jelas beliau, mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE












