Tengku Amir belum dapat ilham - Utusan Malaysia

Tengku Amir belum dapat ilham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAJA Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mendedahkan ba­ginda enggan terburu-buru untuk merombak pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas dipilih menjadi presiden baharu.

Semalam, Tengku Amir secara rasmi dipilih menjadi Pre­siden FAS selepas mendapat 81 pencalonan daripada ahli-ahli gabungan FAS dan baginda menang tanpa tanding selepas Datuk Seri Subahan Kamal memberikan laluan kepada Tengku Amir menerajui persatuan ne­geri tersebut dalam Kongres Luar Biasa FAS.

Justeru, spekulasi mula timbul mengaitkan beberapa individu akan meninggalkan FAS dan bakal digantikan dengan calon-calon yang dihendaki oleh Tengku Amir dalam membantu baginda mengembalikan ­kegemilangan bola sepak Sela­ngor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun Tengku Amir bertitah, baginda tidak mahu terburu-buru untuk merombak pucuk kepimpinan FAS dan le­bih berminat untuk memikirkan jalan membangunkan FAS serta pasukan Selangor.

Titah Tengku Amir, baginda mahu mengambil masa terlebih dahulu sebelum memutuskan melakukan rombakan atau sebaliknya pada Mesyuarat Exco FAS akan datang.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAS dan peminat kerana tanpa mereka, tidak mungkin saya ada di sini.

“Saya buat semua ini 
untuk anda (penyokong Sela­ngor) dan saya perlu tengok apa yang dibuat. Saya perlu utamakan perkara yang harus dilakukan.

“Tengok apa yang perlu dibuat, utamakan apa yang perlu dilakukan terutama melibatkan jurulatih dan pengurusan untuk membawa skuad senior ke peringkat lebih tinggi.

“(Berlaku rombakan pucuk kepimpinan FAS) saya belum pasti tetapi saya mahu ambil masa dahulu dengan menyesuaikan diri dalam FAS sebelum memutuskan apa-apa dan bincang semua perkara itu dalam Mesyua­rat Exco FAS akan datang­,” titah baginda ketika ditemui pemberita di Hotel Geno, Shah Alam semalam.

Dalam perkembangan lain Tengku Amir mendedahkan, baginda sentiasa mendoakan kejayaan Selangor bermula pada aksi final Piala FA 2018 bertemu Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

“Saya ke sini (menjadi Pre­siden FAS) kerana memenuhi tuntutan penyokong-penyokong Selangor.

“Saya berharap Selangor akan memberikan kejayaan nanti ketika bermain di final Piala FA dan sudah pasti kita semua akan memberikan sokongan padu kepada mereka,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN