IPOH 3 Julai – Sesi pemilihan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu kecoh apabila Pakatan Harapan dikatakan mencalonkan dua nama untuk jawatan tersebut.
Kekecohan tercetus selepas Setiausaha DUN, Kamarulariffin Ayub mengumumkan hanya tiga calon iaitu Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham (Pakatan Harapan); bekas Timbalan Speaker, Datuk Nasarudin Hashim daripada Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd. Misbahul Munir Masduki (Pas).
Wakil rakyat pembangkang yang diketuai Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) bangun meminta penjelasan mengapa satu lagi nama calon tidak disebut.
Difahamkan nama seorang lagi calon yang dimaksudkan ialah Ketua Penerangan PKR Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail.
Nama Siti Aishah dicadangkan oleh PKR negeri, namun beliau kemudian menarik diri.
Keadaan kecoh apabila pembangkang mendesak penjelasan secara rasmi mengenai perkara itu dan akhirnya Setiausaha DUN memaklumkan calon berkenaan telah menarik diri.
Begitupun, sesi pengundian untuk jawatan Speaker DUN berjalan lancar dan Koo Ham, 57, dicalonkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan disokong ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor mendapat undian 31 undi.
Koo Ham kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN yang baharu hari ini.
Nasarudin yang dicadangkan oleh BN menerima 25 undi, manakala Mohd. Misbahul Munir (tiga undi).
ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli pula dipilih sebagai Timbalan Speaker setelah hanya satu pencalonan diterima untuk jawatan tersebut.
Sementara itu, kesemua 59 ADUN Perak mengangkat sumpah jawatan didahului Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.











